'The Flying Youth' Gelaran Buat Khairul Hafiz


 'The Flying Youth' adalah gelaran terbaik buat Raja Pecut Sukma ke-18, Khairul Hafiz Jantan berdasarkan keupayaan anak Melaka itu muncul sebagai pelari terpantas negara pada usia 18 tahun, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

'The Flying Youth' Gelaran Buat Khairul Hafiz

Beliau berkata dengan menjadi pelari terbaik negara pada usia yang masih muda Khairul Hafiz dan seorang lagi pelari pecut muda negeri ini Badrul Hisham Abdul Manap, 19, mempunyai masa depan cerah bagi mengharumkan nama Malaysia di pesada dunia.

"Layaklah beliau (Khairul Hafiz) digelar pemuda paling laju atau ramai yang bertanya saya apa kita nak namakan beliau seperti raja pecut sebelum ini, jadi saya kira yang terbaik ialah 'The Flying Youth' orang muda terpantas di negara ini.

"Tahniah Khairul (Hafiz), Badrul (Hisham) dan rakan-rakan lain kerana berjaya mencipta nama untuk Melaka serta memecah rekod Sukma dan kebangsaan...moga mencapai kejayaan selepas ini di Sukan Sea, Sukan Asia seterusnya Sukan Olimpik...saya bangga dengan kamu semua," katanya menerusi kenyataan video kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp pada Jumaat.

Khairul Hafiz itu menjadi sebutan selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100m 10.30s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s, Rabu lepas.

Beliau meraih pingat emas acara 200m Sukma selepas memperbaharui rekod kejohanan dicatatkannya semalam iaitu 21.14s, yang mengatasi rekod terdahulu berusia 14 tahun milik Raja Pecut Sukan Sea 2003, Nazmizan Mohammed dari Terengganu dengan catatan 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah.

Dua raja pecut negara sebelum ini iaitu Tan Sri Dr M. Jegathesan digelar 'The Flying Doctor' manakala gelaran 'The Flying Dayak' diberikan kepada Watson Nyambek. -Bernama

Filled Under: