Sepotong Ayat Al-Quran Ganti Upah Gunting Rambut

Promosi unik ditawarkan sebuah kedai gunting rambut di Indonesia apabila mengenakan bacaan al-Quran sebagai bayaran atas khidmat yang dilakukan.


Sepotong Ayat Al-Quran Ganti Upah Gunting Rambut

Raihan Barbershop yang terletak di Jawa Barat, tampil dengan inisiatif itu sepanjang Ramadan kerana pemiliknya ingin menjalankan amal jariah di bulan suci ini.

Pemiliknya Asep Irawan Hidayat, 42, berkata, membaca al-Quran pada awal pagi dapat melancarkan rezeki dan juga menambah pahala, selain memberikan keberkatan pada premis perniagaannya itu.

“Membaca al-Quran pada pagi hari insya-Allah dapat memperlancar rezeki dan juga menambah pahala,” katanya.


Sepotong Ayat Al-Quran Ganti Upah Gunting Rambut

Namun, promosi yang ditawarkan itu dihadkan waktunya, hanya bermula dari jam 7 pagi hingga 9 pagi sahaja. Tambah Asep, dia tidak mahu memaksa pelanggan supaya mengaji al-Quran dan yang penting baginya ialah keikhlasan pelanggannya membaca ayat suci itu.

“Ini kan bulan yang baik, jadi saya ingin bersedekah dan mencari pahala juga,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dia tetap menerima ‘bayarannya’ itu walaupun pelanggan hanya mampu membaca sepotong ayat suci al-Quran.

Seorang pelanggan setia Asep iaitu Tendi mengambil peluang itu untuk mencuba promosi yang ditawarkan dengan membaca surah yang pendek.

“Biasanya dibayar guna wang tapi hari ini mengaji. Unik juga,” katanya. – MYNEWSHUB