‘Zombie La La La’ Kritikal Cari Penaja Kosmetik


Hanya tinggal beberapa hari lagi pementasan akan berlangsung, namun produksi teater Zombie La La La masih tidak dapat penajaan mana-mana pihak meskipun usaha ke arah itu telah dilakukan sejak awal Januari lalu.


‘Zombie La La La’ Kritikal Cari Penaja Kosmetik

Menurut penerbitnya, Siti Rohayah Attan, pihaknya telah mendekati dan mengadakan beberapa perbincangan dengan beberapa penaja yang dikenal pasti berpotensi, namun keputusan diterimanya amat menghampakan.

“Kebanyakan mereka hanya memberikan alasan bahawa keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu buat masa sekarang menyebabkan mereka terpaksa mengambil langkah lebih berhati-hati dalam sebarang penajaan.

“Memang diakui ekonomi masa kini tidak begitu memberangsangkan, namun kami masih berharap ada pihak sudi muncul jadi penaja utama bagi persembahan ini kerana ia mempromosikan pelancongan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, usaha menerbitkan Zombie La La La dianggap unik kerana menampilkan tempat menarik di ibu kota seperti Zoo Negara, Muzium Negara, Dataran Merdeka, KLCC, Tugu Negara dan Putrajaya sebagai latar cerita.

Dalam masa yang sama, teater ini bertujuan mengetengahkan tentang keberkesanan produk kecantikan buatan anak tempatan yang dianggap sebagai cukup setanding dengan produk sama dibawa masuk dari luar negara.

“Justeru, saya sangat berharap akan ada syarikat kosmetik yang sudi tampil untuk mengeluarkan sedikit perbelanjaan bagi membantu persembahan Zombie La La La ini khasnya dari segi kewangan.

“Melalui penajaan itu kita akan menampilkan produk tersebutlah yang berjaya mengembalikan kejelitaan dan ketampanan zombie dari seluruh dunia,” kata Siti Rohayah yang juga bertindak sebagai penulis skrip.

Tujuan beliau menumpukan penajaan kepada syarikat kosmetik kerana isi cerita teater tersebut berkaitan dengan wajah hodoh watak zombie dari beberapa negara yang mencari formula untuk cantik di Malaysia.

“Hasil pencarian tersebut, mereka akhirnya berjaya menemui formula rahsia yang dimaksudkan itu sehingga menyebabkan kesemua mereka kembali cantik dan tampan,” tegas beliau lagi.

Bagaimapun, Siti Rohayah berkata, beliau tiada halangan jika ada mana-mana syarikat atau perseorangan yang tiada kaitan dengan produk kosmetik tampil untuk menaja persembahan tersebut.

Dengan adanya penajaan tersebut ujar beliau lagi, ia secara langsung akan dapat meringankan beban tanggungan untuk kos produksi teater yang dijangka menelan belanja kira-kira RM1 juta itu.

Zombie La La La arahan A. Aris Kadir bakal dipentaskan dari 13 hingga 21 Februari ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur dengan menampilkan ramai artis terkenal tempatan selain yang dan ada nama tersendiri.

Antaranya Amar Baharin (KaptenCook), Siti Saleha (CleoPapa), Janna Nick (MeMangNak), Amy Mastura (HappyWitch), Hafreez Adam (ElviPasola), Zulin Aziz (Miss-K), Rosnan Rahman (PatihKurnia), Lim Mei Fen (LiliPoh) dan Syed Atiq Wan Long (JinAprait).

Tiket persembahan teater Zombie La La La ini yang berharga dari serendah RM37 boleh dibeli terus di kaunter Istana Budaya atau secara talian menerusi www.AirAsiaredTic.com.

Untuk mendapatkan sebarang keterangan lanjut, boleh menghubungi CTRA Production melalui talian 017-2004549/ 03-61866592/ 03-40265558. – Mynewshub

Filled Under: