Kira-Kira 100 Penduduk Hadir Protes Datum Jelatek Hari Ini


Satu protes membantah pembinaan kondominium Datum Jelatek bersebelahan stesen LRT Jelatek berlaku tengah hari tadi sehingga ada yang bertindak ganas memecahkan tembok tapak projek berkenaan.


100 Penduduk Hadir Protes Datum Jelatek, info, terkini, berita, isu Dattum Jelatek
Kumpulan yang hadir memprotes pembinaan Datum Jelatek bertindak memecahkan tembok zink yang dibina di sekeliling tapak projek berkenaan.

Dalam kejadian itu, kira-kira 100 orang penduduk sekitar Jelatek berarak ke tapak projek berkenaan dan bertindak memecahkan tembok berkenaan yang dipasang dengan menggunakan zink.

Ada juga sesetengah daripada mereka meluru masuk ke dalam tapak projek.

Keadaan yang sedikit kelam-kabut itu akhirnya berjaya dikawal anggota polis yang berada di tempat kejadian yang bertindak meleraikan kumpulan berkenaan.

Dua buah trak polis juga dilihat tiba mengawal situasi daripada menjadi lebih buruk.

Projek Datum Jelatek sebelum ini dibantah penduduk tempatan yang mengatakan ianya bertujuan ‎menukar kawasan majoriti Melayu itu menjadi “Chinese District” apabila projek kondominium itu hanya mampu dimiliki kaum Cina dan warga asing dari China.

Perhimpunan yang bermula jam 11 pagi dengan penduduk sekitar berkumpul di salah sebuah rumah penganjur di Taman Keramat bersebelahan tapak projek; orang ramai juga diberikan nasi lemak dan air mineral.

Peserta himpunan juga memakai lilitan di kepala tertulis “Anak Keramat” sebagai simbol penduduk berasal dari kawasan tersebut.

Nyanyian lagu kebangsaan dinyanyikan peserta dan kemudiaan disusuli nyanyian lagu Warisan (Anak Kecil Main Api) yang seringkali dimainkan dalam program Biro Tata Negara dan Barisan Kita untuk menaikkan semangat.

Turut kelihatan hadir wakil Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ) dan ahli kumpulan pendesak Melayu, Perkasa Selangor.

Pengerusi BBDJ, Salleh Samad berkata perhimpunan hari ini bertujuan memberikan kata dua kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali supaya menghentikan projek yang dikatakan akan memberi peluang kepada orang luar masuk ke kawasan yang majoritinya penduduk Melayu.

“Bila jadi MB (menteri besar), dia sudah masyuk. Saya cabar dia turun bertemu, tapi tidak hadir. Kalau dia hadir saya akan humban dia ke dalam longkang,” kata Salleh.

“Saya cabar beliau supaya hentikan projek ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang wakil penduduk, Ariffin Abu Bakar menggesa supaya Azmin mengutamakan projek rumah mampu milik kepada penduduk sekitar dan bukan projek yang menguntungkan orang luar.

Pemaju projek, DatumCorp, sebelum ini, mengatakan projek terbabit mendapat sambutan dan setakat ini 1,097 pembeli Bumiputera mendaftar dan angka dicatat melebihi daripada 674 unit disediakan.


Sumber : mynewshub.cc

Filled Under: